Wednesday, January 10, 2007

Ronaldo main dengan Arab?


Ronaldo kena intai

Kelab Arab Saudi, Al Ittihad membuat tawaran untuk mendapatkan penyerang Brazil yang sedang beraksi bersama Real Madrid, Ronaldo lapor akhbar Sepanyol, semalam Akhbar sukan harian As berkata, kelab itu menawarkan RM86 juta (20 juta Euro) untuk mendapatkan khidmat penjaring terbanyak Piala Dunia itu yang tidak lagi diperlukan jurulatih Real dari Itali, Fabio Capello.

Pegawai Al Ittihad di Jeddah mengesahkan mereka memang mahu mendapatkan Ronaldo yang kini sudah berusia 30 tahun dan mahu mengikat pemain itu untuk tempoh tiga tahun.

“Kami sedang menunggu jawapan daripada kelab Sepanyol itu,” kata pegawai berkenaan.

Beliau menambah, Al-Ittihad menawarkan tujuh juta dolar kepada Real dengan 18 juta lagi kepada Ronaldo untuk tempoh tiga tahun.

Minggu lalu, bekas juara Asia, Al Ittihad berjaya membeli pemain tengah veteran Portugal, Figo dengan kontrak setahun bernilai 4.5 juta Euro. - AFP

Perlis unggul di takhta Liga Super


PERLIS meneruskan penguasaannya selaku pendahulu Liga Super apabila menjadikan Terengganu mangsanya dengan kemenangan 4-1 di Stadium Utama Kangar, semalam. Bagi Perlis kejayaan itu adalah kelima dari tujuh perlawanan yang diharungi sebaliknya bagi pasukan pelawat bimbingan Yunus Alif itu adalah kekalahan pertama dari enam perlawanan, setakat ini.

Kejayaan itu membolehkan skuad kendalian Abdul Rahman Ibrahim menambah tiga lagi mata menjadikan 17 keseluruhan.

Perlis turun cukup bersemangat dan hampir membuka jaringan seawal minit pertama tetapi Phillimon Chipeta gagal untuk menyudahkan hantaran lintang rakannya, Francis Kombe.

Bagaimanapun, tujuh minit selepas itu, Chipeta menggamatkan stadium yang dipenuhi lebih 12,000 penyokong apabila rembatannya dari jarak kira-kira 30 meter menerjah jaring menewaskan Suhardy Alby.

Pelawat berusaha bangkit memberikan saingan dengan melakukan beberapa gerakan menyamakan kedudukan menerusi Cik Hishammudin Hassan dan Md Norhisham Hassan tetapi gagal menemui sasaran.

Bekas pemain Sabah, Joey Ryan Gundok menambah gol kedua m-44 dan Kombe menjaringkan gol ketiga m-62 dan pemain gantian, Mohd Faisal Esahar m-85.

Terengganu yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Fabio Flo diarah keluar padang selepas mengutip kad kuning kedua mencipta gol tunggal menerusi tandukan Cik Hishammudin m-88 hasil sepakan sudut Ismail Faruqi Ashaari.